Tuesday, June 18, 2019

PERGINYA PEJUANG TERBILANG

Dr. Morsi memimpin Jemaah Ikhwan Muslimin melalui Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) telah memenangi pilihanraya presiden pada Jun 2012 dan menjadi pemimpin pertama dan terakhir yang dilantik melalui demokrasi di  Mesir.

Morsi ketika pilihanraya Mesir pada 2012. (Gambar: AP)

Berikut merupakan sebahagian ringkasan politik di Mesir yang dikongsikan oleh Dr. Abdul Muein Abadi, Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Latarbelakang

Dr. Morsi merupakan seorang hafiz al-Quran yang mempunyai taraf pendidikan peringkat PhD dari University of Southern California, Amerika dalam jurusan Kejuruteraan. Beliau kemudiannya menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Kejuruteraan di Universiti Zagazig setelah pulang ke Mesir.
Beliau dilahirkan di kampung El-Adwah, di wilayah Delta Nil di Sharqiya pada 1951.

Penjara ‘Kala Jengking’

Ketika di penjara, beliau didakwa dilayan dengan kejam di penjara Tora yang digelar sebagai penjara ‘Kala Jengking’ sehingga sebuah panel yang dinamakan Detention Review Panel (DRP) yang turut dianggotai para peguam dan ahli parlimen Britain mengecam kaedah tahanan ini yang dicela sebagai ‘di bawah tahap yang sepatutnya berdasarkan undang-undang antarabangsa’.
Sejak enam tahun lalu, beliau didakwa terpaksa melalui siri penyeksaan melalui perbicaraan di mahkamah yang melibatkan penderaan mental dan fizikal secara berturut-turut dan berulang-ulang. Selain itu, beliau turut didakwa dinafikan hak penjagaan yang baik dan tidak diberikan akses kepada ubat-ubatan bagi penyakit yang dialaminya.
Menurut laporan Human Right Watch (HRW), tahanan yang memasuki penjara berkenaan tidak akan keluar dalam keadaan hidup. Mereka dinafikan hak untuk mendapatkan ubat-ubatan dan perkhidmatan perubatan berkala daripada doktor disamping keluarga mereka dihalang dari menghantar bekakan ubat-ubatan dan makanan kepada tahanan.

Penjara ‘Kala Jengking’. (Gambar: HRW)

Antara Mei hingga Oktober 2015, sekurang-kurangnya 6 orang tahanan maut di dalam penjara. Dua daripada mereka didiagnos dengan kanser dan diabetes. Menurut keluarga mereka, pihak penjara melarang tahanan tersebut dari menerima rawatan dan ubat-ubatan.
Seorang tahanan yang merupakan salah seorang kumpulan Jemaah Islamiyah yang menghidap diabetes, dipaksa menghadiri perbicaraan dalam keadaan menggigil, separa sedar dan tidak mampu mengawal kencing sebelum maut beberapa jam setelah perbicaraan.
Tahanan lain yang merupakan bekas ahli Ikhwanul Muslimin (gerakan yang sama seperti Morsi) meninggal dunia pada Mei 2015 akibat Hepatitis C setelah mengalami koma hepatik ketika di dalam penjara.
Salah seorang tahanan berkata,

“Kami berada di makam. Kita hidup, tetapi kita berada di makam.”

Tuduhan ke atas Morsi


Gambar: AP

Beliau dituduh hanya melantik anggota Ikhwan yang merupakan ahli politik FJP sahaja dalam kerajaan sedangkan sebenarnya beliau telah melantik tiga orang wanita dan dua orang ahli politik Kristian ke jawatan utama pada Ogos 2012.
Ramai pihak menuduh beliau tergesa-gesa dalam cubaan mereformasi angkatan tentera Mesir – contohnya tindakan beliau melucutkan kedudukan Panglima Mohamed Hussein Tantawi dan Leftenan Jeneral Sami Hafez Anan serta memecat Pengarah Perisikan Murad Muwafi.
Namun hakikatnya, beliau telah berusaha mengimbangi tuntutan tenteratermasuklah memberi pelbagai kelebihan kepada belanjawan dan syarikat milik tentera. Contohnya ialah pengecualian pemotongan subsidi minyak, imuniti daripada semakan dan kawalan belanjawan, dan juga autonomi sistem buruh yang diamalkan syarikat milik tentera Mesir.

Morsi bersama barisan SCAF. (Gambar: The Cairo Review)

Malah, tentera Mesir melalui Supreme Council of the Armed Force (SCAF) juga menerima beberapa keutamaan dalam projek kerajaan seperti projek automotif Al-Nasr Automotive Manufacturing Company (NASCO) yang diserahkan kepada Kementerian Pengeluaran Pertahanan dan juga projek tablet ala-iPad Mesir, Inar yang diberi kepada Benha Electronics Company (Benha) yang sebahagiannya juga milik Kementerian Pengeluaran Pertahanan Mesir.
Kerajaan FJP pimpinan Dr. Morsi juga bertindak menghentikan rancangan penswastaan besar-besaran aset kerajaan – termasuklah syarikat-syarikat milik tentera Mesir. Selain itu, Dr. Morsi turut memberikan posisi yang tinggi kepada para pegawai tentera di Autoriti Terusan Suez, Pertubuhan Arab untuk Perindustrian, dan juga kedudukan di Kementerian Pertahanan – di samping berjanji mewujudkan kehadiran tentera Mesir di Sinai dan juga mempelbagaikan sumber persenjataan asing dan latihan buat tentera Mesir.
Walau bagaimanapun, kerajaan Dr. Morsi juga mengusahakan pengurangan monopoli tentera dalam projek berskala besar dan berimpak tinggi Mesir seperti dalam kes Projek Pembangunan Koridor Terusan Suez.
Rancangan Dr. Morsi untuk menjadikan Terusan Suez sebagai hab logistik dan pusat pembuatan barangan berat global ini tentulah menarik firma-firma berkaitan tentera yang dominan di Mesir seperti kilang pembuatan menara, kotak gear, dan juga bilah fiberglass yang digunakan dalam turbin angin.
Namun begitu, kerajaan Dr. Morsi bertindak meletakkan posisi pembuatan keputusan tertinggi projek gergasi ini di tangan Timbalan Perdana Menteri yang melapor secara terus kepada beliau, sekali gus mengetepikan kedudukan dominan tentera Mesir. Langkah inilah sebenarnya yang didakwa membawa kepada rampasan kuasa tentera menjatuhkan kerajaan Dr. Morsi.

Pakatan Tentera, Mahkamah Tinggi, Media dan Firma Gergasi pro-Hosni, musuhi Morsi


Gambar: BBC

Para hakim di Mahkamah Tinggi Perlembagaan Mesir  merupakan penyokong Hosni Mubarak didakwa menjadi ancaman terhadap kerajaan Dr. Morsi. Contoh yang paling nyata apabila ia bertindak membubarkan Dewan Perwakilan Rakyatyang dipilih rakyat pada Jun 2012 – sejurus sebelum Dr. Morsi memenangi pilihan raya Presiden dalam bulan yang sama. Pembubaran ini susulan kejayaan Ikhwan Muslimin melalui parti FJP menguasai majoriti kerusi parlimen pada waktu itu.
Oleh itu, setelah menjadi kerajaan, Dr. Morsi mengusahakan pemusatan kuasa eksekutif di tangan Presiden bagi melindungi proses penggubalan Perlembagaan Mesir agar selari dengan keseimbangan antara hak asasi manusia dan Syariah.
Langkah ini jelas bersifat pencegahan kerana kuasa eksekutif yang kuat diperlukan untuk melindungi Perlembagaan daripada disabotaj para hakim pro-bekas presiden, Hosni Mubarak yang jelas menguasai Mahkamah Tinggi Perlembagaan Mesir.

Perusuh menuntut Morsi meletak jawatan. (Gambar: UPI)

Akibat pakatan tentera Mesir dengan firma-firma gergasi (yang didakwa sengaja merosakkan bekalan tenaga dan keperluan asas rakyat selepas kemenangan FJP pimpinan Dr. Morsi) serta media (seperti Nilesat yang menguasai satelit strategik didakwa menyiarkan berita palsu dan fitnah), emosi sebahagian rakyat Mesir telah dibakar untuk sekali lagi berhimpun dan mendesak Morsi meletak jawatan.

Pembunuhan beramai-ramai di Dataran Rabaah, Kaherah


Mangsa pembunuhan beramai-ramai di Dataran Rabaah. (Gambar: Middle East Monitor)

Pada 14 Ogos 2013, seramai 800 penunjuk perasaan didakwa ditembak oleh polis dan tentera dalam tempoh beberapa jam dalam usaha meleraikan kumpulan perusuh yang berkampung di dataran tersebut bagi menuntut pembebasan Morsi.
Mengikut Human Rights Watch (HRW), kira-kira 85 ribu penunjuk perasaan telah menyertai rusuhan sepanjang 45 hari dan jumlah tersebut semakin bertambah dari masa ke masa.
Badan keselamatan Mesir mendakwa sebahagian daripada perusuh didapati bersenjata dan terdapat ‘pengganas’ dalam kelompok berkenaan, membuatkan pihak polis dan tentera bertindak menembak perusuh dalam peristiwa tersebut.
Menjelang 2018, walaupun bukti yang menunjukkan tentera dan polis Mesir membunuh perusuh, tiada seorang pun yang dihadapkan ke muka pengadilan dan kerajaan negara tersebut masih tidak menyiasat pembunuhan beramai-ramai tersebut secara telus (Al-Jazeera, 2018).

Campur tangan asing


Gerakan Tamarroud – Rebel. (Gambar: AP)

Campur tangan asing juga jelas menjadi faktor besar dalam konteks politik Mesir ini – negara-negara jiran didakwa dikesan menyalurkan dana berulang kali kepada para jeneral tentera Mesir dalam merencana gerakan Tamarroud bagi menjatuhkan kerajaan FJP Dr. Morsi.
Negara berkenaan juga secara terbuka dinamakan sebagai antara perancang utama gerakan rampasan kuasa tentera ini dengan kerjasama erat Jeneral al-Sisi yang ketika itu merupakan Menteri Pertahanan.
Hanya seminggu selepas Dr. Morsi dijatuhkan, negara itu telah menjanjikan sokongan sebanyak USD 3 bilion manakala sebuah lagi negara jiran pula menjanjikan USD 5 bilion kepada rejim tentera Mesir.




Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment